“Bagi
Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa
yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki
dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”
(Surah As-Syura ayat 49 dan 50)
Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT
kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar
dinilai sebagai suatu ibadat, antaranya:
1. Menunjukkan Rasa Gembira dan
Ucapan Tahniah
Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya
yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran
anak dengan ucapan tahniah.
Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut
oleh Ulama’ iaitu:
“Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha
rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan
hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai
umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”
2. Azan Serta Qamat Sejurus
Selepas Kelahiran
Apabila anak itu lahir, maka hendaklah
diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti
hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin
Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia
mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka
bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.”
Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan
adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang
menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.
3. Hendaklah Di Tahnikkan
Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma
pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan
perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi.
Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan
supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi
adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut
hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA:
“Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya
kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan
kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat
dan dipulangkan bayi itu kepadaku).
4. Mencukur Rambut
Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi
daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir,
ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu
Rasululullah SAW bersabda:
“Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya
kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah
atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun berikutnya) apabila
lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam
al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu
mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”
5. Memberikan Nama Anak
Ibu dan bapa disunatkan memberikan nama anak
sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh.
Digalakkan untuk memberikan nama anak dengan
makna yang baik. Antara cadangannya ialah berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:
Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di
sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith (حارث) dan Hammam (همام) manakala yang
buruk ialah Harb dan Murrah.
Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah,
seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul
sebelumnya. Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya. Dimakruhkan
memberi nama anak sempena orang Islam terkenal yang fasiq.
6. Melakukan Akikah
Seperti disebutkan dalam sebuah hadis
riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata:
“Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan
dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.
Masa untuk aqiqah disunatkan pada hari
ketujuh. Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah
ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia
dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.
7. Khitan / Sunat
Di dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib
bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya untuk anak perempuan. Mengenai
waktu berkhitan, digalakkan untuk melakukannya sama ada pada hari pertama atau
hari ketujuh kelahiran. Akan tetapi ianya boleh dilaksanakan sehinggalah ke
umur mukallaf. Berkhitan mempunya hikmah yang pelbagai, antaranya ialah sebagai
tanda keseriusan Islam terhadap kesucian anak.







No comments: